Tuesday, April 6, 2010

WANITA TIDAK BEKERJA JUGA MAMPU MENYUMBANG SESUATU YANG BESAR KEPADA MASYARAKAT

Mungkin ada di kalangan anda pernah menghadapi situasi seperti wanita di bawah ini? Selamat membaca dan ambil ikhtibar darinya.

Kisah Puan A (bukan nama sebenar)

Saya seorang isteri dan ibu berusia 35 tahun. Selepas tamat pengajian dari universiti luar negara, saya bekerja sebagai Jurutera Awam dan menghabiskan masa di tapak projek. Apabila berumahtangga dan melahirkan tiga anak, saya berasa kehidupan berubah. Cabaran sebagai isteri dan ibu bekerja amat besar. Saya berasa bersalah terhadap suami dan anak kerana selalu balik lewat malam. Akhirnya saya memutuskan berhenti kerja. selepas lima tahun menjadi suri rumah sepenuh masa, saya berhasrat bekerja semula. Suami hanya mendiamkan diri apabila saya mengajukan hasrat dan anak tidak gembira. Adakah saya seorang yang pentingkan diri sendiri.

Tolong berikan pandangan. Ibu dilema Subang Jaya

Jawapan:

Apabila saya membaca masalah puan, saya berasakan puan seorang isteri dan ibu yang sempurna. Puan sudah mengecap erti kebahagiaan dalam kehidupan, keluarga bahagia, suami penyayang dan anak anugerah Ilahi yang puan harus syukuri. Mungkin kebosanan dan perasaan sunyi menghantui jiwa puan. Bersihkan jiwa daripada belenggu itu.

Apakah yang lebih mulia dalam hidup ini selain mendapat keredaan Allah, kasih sayang suami dan keluarga serta pengiktirafan masyarakat sekeliling. Kepuasan diri tercapai apabila kita berjaya membahagiakan manusia lain. Kepuasan wanita boleh dicapai tanpa mengira dia bekerja atau tidak. Ramai beranggapan selepas berhempas pulas belajar di menara gading, kita mesti bekerja di tempat yang setaraf dengan kelulusan dicapai dan memperoleh pendapatan tinggi.

Ada juga beranggapan dengan bekerja wanita akan memperoleh kebebasan dan memenuhi kepuasan diri. Menurut pandangan ini, wanita bekerja bebas daripada belenggu yang menyebabkan mereka tertinggal di belakang. Anggapan ini kurang tepat.

Wanita yang memilih untuk tidak bekerja, pasti mempunyai alasan kukuh. Tidak bekerja atau berhenti kerja bukan semata-mata kerana sudah cukup duit atau sudah puas mengecapi kebebasan. Alasannya jauh lebih murni daripada itu. Keperluan memilih sama ada keluar bekerja atau tidak bergantung kepada keperluan keluarga. Setiap keluarga mempunyai keperluan berbeza. Perkara penting wanita perlu tahu, dia punya alasan tersendiri.

Sabda Rasulullah bermaksud: Bukanlah kekayaan itu harta yang melimpah akan tetapi kekayaan yang sebenar-benarnya ialah kaya jiwa?

Semua wanita ada impian apabila bergelar isteri dan ibu. Ramai bercita-cita menjadi pendidik dan pembimbing kepada anak seperti Asma’ Binti Abu Bakar yang tanpa jemu meniupkan semangat jati diri dan perjuangan kepada anaknya, Abdullah Ibn Zubair. Ramai pula berhasrat menjadi wanita sejati dan mencontohi wanita teladan, ingin jadi teman dan penghibur suami di kala senang dan susah seperti Saidatina Khadijah, isteri Rasulullah.

Peranan yang dimainkan Saidatina Khadijah begitu besar dan berkesan, sehingga suaminya Rasulullah berkata:

Siapakah yang boleh terfikir akan berkahwin selepas ketiadaan Khadijah?

Saya bertemu ramai suri rumah yang memberi sumbangan hebat kepada keluarga. Saya menyedari untuk mencontohi wanita mithali kita tidak semestinya bekerja atau tidak bekerja. Perkara penting ialah niat dan matlamat kita bekerja atau tidak bekerja untuk apa, untuk siapa dan mahu ke mana? Kita tidak harus memikirkan diri dan keluarga saja, sebaliknya perlu memanfaatkan potensi diri dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan warga yang memberi manfaat.

Namun, saya juga dapati ramai wanita yang tidak bekerja, menjadi suri rumah berasa rendah diri dan bosan. Pakar motivasi, Dr Robiah Kulup, berkata kerjaya suri rumah bukan sekadar nasi tambah, malahan wanita bergelar suri rumah adalah kunci kebahagiaan utama sesebuah keluarga. Ramai wanita bekerja yang mimpikan kesempatan itu, tetapi mereka tidak berpeluang. Puan berpelajaran dan punya wawasan, mesti sentiasa peka, sentiasa meningkatkan diri dengan ilmu pengetahuan, sentiasa memperkasakan diri dengan pelbagai kemahiran hidup. Gabungkan diri puan dengan sukarela. Apabila puan bekerja semula puan akan risau, adakah anak diberi makan oleh pembantu rumah. Puan mula akan rasa bimbang anak keluar rumah sesuka hati, kerana puan tidak sentiasa ada di rumah untuk mengawasinya. Jawapan disediakan oleh Endok Sempo Mohd Tahir dengan kerjasama Wanita JIM. Permasalahan dan jawapan boleh layari di www.bicarakalbu.blogspot.com

1 comment:

  1. memang mencabar beban wanita yang bergelaran "isteri" berpangkat "ibu" dan berjawatan "kerja" serta mempunyai t/jawab "suri rumah", bayangkan yang mana harus didahulukan.... cinta ku terbahagi "4"...

    kongsi tips rumah tangga, anak, doa untuk anak, nama Islam dll di: http://edarannama.blogspot.com

    ReplyDelete

Sila gunakan bahasa indah jika ingin meninggalkan sebarang komen, pihak ADMIN tidak bertanggungjawab atas segala salah laku atau ucapan yg boleh menggugat keharmonian hidup bermasyarakat di Malaysia atau mengaibkan mana-mana pihak. Andalah yg akan bertanggungjawab atas komen anda. HARAP MAKLUM.